Sunday, March 28, 2010

PELAJAR PEREMPUAN DITAHAN BERSAMA DADAH

Posted on July 29, 2009 - Filed Under Berita 2009


1 April - Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga ditahan berhampiran Pangsapuri Fasa 7, Presint 9 Putrajaya di sini Jumaat lalu kerana disyaki memiliki dadah dipercayai jenis ketamin seberat 9.4 gram.

Pelajar terbabit ditahan kira-kira jam 10.25 pagi bersama empat lelaki ketika berlegar-legar berhampiran pangsapuri terbabit dalam keadaan mencurigakan selepas mendapat maklum balas orang ramai.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Superintendan Abdul Razak Abdul Majid berkata, sepasukan polis dihantar ke tempat kejadian dan menahan kelima-lima individu terbabit sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya.

“Hasil pemeriksaan terhadap pelajar berkenaan, polis menemui serbuk putih dipercayai dadah jenis ketamin seberat 9.4 gram dalam beg pelajar terbabit. Pelajar itu juga didapati ponteng sekolah.

“Pelajar berkenaan ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Empat lain yang ditahan ialah dua pelajar dari Shah Alam dan dua penganggur.

Kelmarin, kata Abdul Razak, pelajar perempuan berkenaan dibebaskan atas jaminan polis sementara menunggu perbicaraan.

Katanya, pelajar itu disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Merbahaya 1957 dan jika didapati bersalah, dia boleh dikenakan hukuman berkelakuan baik selama dua tahun memandangkan dia masih di bawah umur.

Dalam kes lain, beliau berkata, Geng Cuci yang sebelum ini dikesan mencuri barangan berharga ke beberapa pejabat di Presint Diplomatik di sini kembali mengganas apabila mencuri enam komputer riba di sebuah pejabat di Presint 14, selang beberapa hari selepas kejadian pertama.

Geng yang menyamar sebagai tukang cuci permaidani dan penghawa dingin itu menggunakan modus operandi yang sama iaitu mengarahkan kakitangan syarikat terbabit mengosongkan pejabat bagi memudahkan mereka mencuci penghawa dingin.

Kejadian terbaru itu berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari Ahad lalu dan mereka melarikan enam komputer riba yang dianggarkan bernilai RM22,000.

“Kita meminta orang ramai supaya memeriksa status mereka yang mendakwa sebagai tukang cuci penghawa dingin atau permaidani kerana dengan majikan masing-masing kita bimbang kejadian ini berulang pada masa depan.

“Ini adalah kes kedua dalam tempoh seminggu dan kami amat berharap supaya orang ramai tidak sewenang-wenangnya membenarkan orang asing memasuki pejabat walaupun dengan alasan kukuh,” katanya. –Hmetro

0 comments:


  © Free Blogger Templates 'Greenery' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP